Wednesday, February 13, 2013

Skuad Pencari Kerang~

Assalamualaikum w.b.t

Anda suka akan kerang? Kerang sesuai dihidangkan untuk sajian makan tengahari mahupun malam dan dimasak dengan pelbagai cara untuk dinikmati. Entri seterusnya, akan berkisar mengenai hidangan mudah menggunakan kerang.

Kini bersiaran kembali, meneruskan catatan slot santai untuk ekspedisi musim cuti sekolah. Kali ini, kami menyertai aktiviti ke laut dalam misi 'skuad pencari kerang', yang diadakan di kampung Bagan Sungai Buluh, Jeram, Kuala Selangor. Aktiviti bersantai begini digalakkan untuk mengeratkan silaturahim sesama rakan dan ahli keluarga.

Suasana nyaman dengan desiran ombak laut, mendamaikan jiwa. Hari semakin mendung  menandakan hujan bakal turun  tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan misi. 


panorama indah di jeti sebelum misi pencarian kerang bermula

kulit cangkerang menghiasi permukaan tanah di sepanjang jeti

misi pencarian bermula dengan menyelusuri persisiran muara laut air masin

 

Keceriaan terpancar di wajah peserta ekspedisi sewaktu menaiki bot memandangkan ini merupakan pengalaman pertama kami meneroka laut terbentang luas untuk melihat sendiri siri kehidupan sang penyauk kerang yang terdiri daripada nelayan di kawasan setempat.
       
Kami berasa sungguh kagum melihat kehidupan nelayan bukanlah semudah yang disangkakan, kais pagi makan pagi , kais petang, makan petang. Para nelayan terpaksa meredah cabaran ombak laut, dan keadaan cuaca yang tidak menentu demi mencari sesuap nasi untuk menyara kehidupan seharian. Hanya mereka yang berjiwa cekal dan kental sahaja mampu meneruskan misi kehidupan yang sangat penuh dengan pancaroba dan mampu bersyukur dengan kudrat tulang empat kerat yang dikurniakan ilahi. 


Keadaan kami sewaktu di tengah laut selat melaka 


Aktiviti menyauk kerang dijalankan menerusi tiang yang dipacakkan sebagai penanda kawasan kerang banyak didapati. Kerang sememangnya hidup di permukaan lumpur dan nelayan akan menyauk kerang menggunakan sangkar kecil dan sebatang kayu panjang. Bot yang dipandu oleh nelayan akan menyelusuri sepanjang kawasan kerang yang dipacakkan dengan kayu untuk menuai hasilnya. Kebiasaannya musim menyauk kerang bermula pada awal bulan 2 (Feb) - 6 (Jun) setiap tahun.




keadaan sewaktu hujan mulai turun membasahi bumi


Setelah pulang, hasil tuaian kerang akan dipindahkan ke mesin pengasing bagi tujuan pengasingan sisa tuaian lain (sampah) (air masin) dan hasil kerang. Proses penyaringan dilakukan dengan menggunakan air paip yang bersih.


hasil tuaian terakhir setelah melalui proses penyaringan

sisa lain yang sempat dituai ~
si belangkas (sentiasa berpasangan si jantan dan betina)


Belangkas hidup di laut air masin dan paya air tawar. Daging dan telur belangkas yang matang boleh dimakan dan biasanya dimasak dalam hidangan asam pedas terutamanya oleh masyarakat di Kota Tinggi , Johor.






inilah rupanya , kerang segar dan memang terbaik dari laut. *(^_^)*



Keseronokan terpancar di wajah setiap ahli ekspedisi dalam menyelami sendiri kehidupan para nelayan. Syabas diucapkan kepada para nelayan yang terlibat kerana memberikan kami pengalaman yang cukup bermakna . Selamat berjuang kepada para nelayan yang tidak pernah kenal erti penat lelah dalam mencari rezeki yang halal di bumi yang bertuah ini. Diharapkan aktiviti bermanfaat ini dapat diteruskan dalam mempromosikan aktiviti pelancongan seterusnya membantu menambahkan ekonomi penduduk setempat.


Tribute from Fieda's delight with love, XOXO


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ORDER FORM @ fieda's delight

Name:
Email Address:
Contact Numbers;
Delivery Location;
Delivery Date;
Types (Order Items);
Kindly stated the size, flavor, colour and theme (please refer to details of cakes, cupcakes and cheese cakes)

Form provided by Freedback.